Mostly Cloudy

Kuala Lumpur, MY

28°C

Mostly Cloudy

Humidity: 84%

Wind: N at 4 mph

Advertisement

AGENDA EVOLUSI



Adakah revolusi itu maksudnya reformasi?

Jangankan suatu gerakan reformasi, kongregasi ke stadium pun jauh sekali. Layakkah kita bicara agenda perubahan?!

Jauhkanlah cakap-cakap reformasi kerana untuk merubah masalah sebesar ini penawarnya bukanlah insiatif remeh yang sekadar singgah di warung kopi dan tidak kembali. Suatu reformasi perlukan gerakan raksasa, halatuju yang satu dan gerak kerja yang siap tersusun. Kita juga bukan orang hebat-hebat yang mampu mencetuskan gerakan itu, bahkan cumalah marhaen dan rakyat kebanyakan di jalanan, yang kata-kata hanya bergema di bumi dan takkan tercecah ke langit tinggi; di singgahsana yang bersemayam di sana.

Ini juga tentu sekali bukan reformasi kerana rejim yang belum sedar diri, bersama-sama dengan kebobrokan sistem di sekelilingnya, tidak akan mahu diganti. Tiada juga aksi-aksi pembalikkan polisi dengan gaya penuh dramatik dan drastik apa-apa yang telah dimomokkan selama ini – segala yang hanyalah omongan muntahan tong-tong kosong semata-mata. 

Jika bukan reformasi, apa pula agendanya? Agendanya melayan kemarahan dan memujuk kekecewaan. Itulah manifesto emosi generasi ini. Generasi yang masih belum pernah menyaksikan pasukan kebangsaannya meraih kemenangan kompetitif di gelanggang Bukit Jalil sejak terdirinya gajah putih itu. 

Tatkala semua rasa kekerdilan ini, generasi ini tidak mahu lagi menerima hakikat bahawa walaupun bolasepak sentiasa bertakhta di hati, sukan terulung di tanahair ini, namun kawalan bola di kaki manakan mungkin sama hebatnya! Mengapa pula tidak?! Mengapa tidak boleh hebat kedua-duanya?! Apa kurangnya kita?!

Kembalilah kita kepada perkara asas. Sewaktu kehingusan kita dahulu, berikan sahaja sebiji bola, imaginasi terus menjadi teman di minda. Tiada peraturan. Tiada kad kuning. Tiada sepakan penjuru. Tiada tiang gol. Cuma riuh rendah keriangan kanak-kanak bersorak tatkala bola terlolos di antara sepasang selipar. Terus terasa diri bagaikan wira tersanjung tinggi. Kegembiraan tanpa kondisi! Jelas sekali tiada apa yang bisa mengatur semangat kesukanan ini. Struktur  cumalah ciptaan manusia. Emosi kurniaan Ilahi jua.

Nostalgia sebegini yang membikin hati terus melankoli kepada permainan zaman kecil kita ini yang tidak pernah bersua kejemuan sehingga beruban helaian-helaian di ubun kepala. Majoriti kita punya perasaan ini. Majoriti kita masih mahu melayani keajaiban emosi itu kembali!

Kesepian gelanggang-gelanggang keramat kita tidak bermakna kita kepupusan penyokong bolasepak, bahkan jauh sekali dari itu! Kekecewaan mungkin penyebab mereka memutuskan untuk menyendiri. Peminggiran media mungkin penyebab mereka jahil informasi. Kelemahan pengurusan mungkin penyebab mereka tiada keyakinan lagi. Tapi mereka tetap di luar sana, menunggu masa muncul kembali. 

Sudah sekian lama satu perubahan diimpikan tetapi harapan ini bagaikan menongkah arus deras yang destinasinya semakin nun kejauhan. Lelah tiap kali dikenangkan. Adakah pengharapan suatu perubahan sewajarnya ditukar ganti dengan semangat untuk berubah? 

Jika reformasi bukanlah suatu pilihan, kami bertekad mengorak langkah evolusi. Dan sekiranya benar evolusi adalah jawapan yang kita tercari-cari selama ini, kami bersedia untuk bertaruh nasib dan menanggung beban memulakan evolusi itu.

Jadi janganlah dangkalkan imaginasi menyekat kreativiti. Jika semua nostalgia itu belum boleh menarik mereka kembali, bawakan semua keajaiban itu ke pangkuan mereka sendiri.

Mahukah kau tahu perihal evolusi ini? 

[Awasi Deretan Kata-kata Seterusnya : 21 Oktober 2009]
Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy