Mostly Cloudy

Kuala Lumpur, MY

28°C

Mostly Cloudy

Humidity: 79%

Wind: NE at 2 mph

Advertisement

AGENDA EVOLUSI (BAHAGIAN 2) : TAHNIAH KALIAN!

Tahniah kalian. Segelintir kami yang berhujan di Bandar Tun Razak semalam, menyaksikan pertarungan di antara Highway Warriors dan Red Warriors, berkeyakinan penuh bahawa bolasepak tempatan masih punya tempat di hati peminat tanahair. Kesesakan tengah minggu di Cheras itu sekurang-kurangnya telah mengesat takungan-takungan debu di tempat-tempat duduk gelanggang itu. Kelincahan pemain-pemain di lapangan rumput juga jarang sekali, atau tidak langsung, membuatkan penonton-penonton menguap di kala kesejukan malam. Tahniah!

Jelas bahawa semangat tradisi Piala Malaysia terus menyala, walaupun secara diam-diam (atau secara sengaja, tersengaja atau tidak sengaja didiam-diamkan?). Diilhamkan daripada baraan semangat ini, izinkanlah pengenalan pembentangan lembaran agenda evolusi seperti yang dijanjikan:

VARIASI BOLASEPAK

Sukan ini sarwajagat. Ia bagaikan satu bahasa universal yang ditutur di merata muka bumi. Dan, walaupun ianya diterima umum dengan mudah, banyak juga bentuk lain yang tercipta. Daripada bolasepak 11 sebelah timbul pula bolasepak 9 sebelah, 7 sebelah, 5 sebelah, 3 sebelah, futsal, bolasepak jalanan ‘street football’, bolasepak pantai dan gaya bebas ‘free-styling’ dan apa sahaja yang termampu dijangkau akal.

Bermakna sukan ini menghalalkan kreativiti. Sebahagian agenda evolusi ini adalah berkaitan evolusi bentuk itu.

MANA HILANGNYA PEPARU HIJAU?

Ini penyakit umum negara membangun. Sedang ia ghairah meneroka kekayaan berlonggok-longgok dari segenap sudut yang lain, alpa ia kepada pembangunan kesihatan rakyatnya. Hasilnya, banyaknya lapangan rumput dikorbankan kepada pembinaan pencakar-pencakar langit . Namun, tidakkah mereka ingat bahawa, walau seluas dan setinggi manapun hutan konkrit itu, rakyat perlu beriadah dan memastikan pembangunan modal insan yang seimbang.

Jika tiada padang, tidak dapat tidak, penyesuaian perlu dijalankan. Evolusi ini sememangnya sedang berjalan. Tidak percaya? Sukan yang sepatutnya percuma kini, di dalam gudang-gudang tertutup di serata negara, terpaksa dilabelkan dengan tanda harga. Janganlah pengusaha gudang pula dipersalahkan, tanyakanlah di mana hak-hak kamu sebagai rakyat jelata kepada semua peparu hijau itu!

KEHADIRAN FIZIKAL DAN MENTAL

Polemik bolasepak tanahair terbahagi kepada berbagai faktor. Antara musabab yang paling signifikan tentu sekali rekod kehadiran di stadium-stadium yang amat mengaibkan.

Dirasakan bahawa masalah sebenar bukanlah kehadiran fizikal. Ini kerana kehadiran fizikal peminat-peminat ditentukan daripada kehadiran mental mereka. Mereka tidak akan pergi menonton sesuatu yang ‘asing’ bagi mereka. Tidak pelik sekiranya gelanggang Bukit Jalil tempoh hari sesak kerana ramai yang berhasrat untuk mengabadikan pengalaman menyaksikan aksi kembar Fabio dan Rafael Da Silva serta rakan-rakan Red Devils berbanding keinginan menyokong kembar tempatan Aidil Zafuan dan Zaquan Adha serta pasukan Harimau Malaya mereka.

Jadi bagaimana?

BOLASEPAK MILIK SEMUA

Ini ciri penting sukan ini yang tidak mungkin dapat dinafikan: ia bukan milik ekslusif. Jikapun kamu semewah seangkatan Syeikh Mansour dan Abramovich, di atas kertas kamu mungkin pemilik organisasi itu tetapi realitinya ia tetap milik semua. Pemilik, pentadbir, jurulatih dan pemain semuanya datang dan pergi tetapi tradisi dan penyokong akan selamanya kekal di situ. Selagi mana kau mengabdikan sokongan tiada berbelah bagi, selagi itu kau dianggap keluarga.

Hasrat evolusi ini adalah untuk memulangkan hakmilik ini kepada semua yang sudi.

[Awasi Deretan Kata-kata Seterusnya : 24 Oktober 2009]
Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy