
AZZUDDIN akui pembatalan Piala Antara Benua adalah disebabkan ancaman wabak influenza A (H1N1).
--------------------------------------------------------------------------------
KEJOHANAN bola sepak jemputan bawah 23 Tahun, Piala Antara Benua 2009 yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 14 Jun depan terpaksa dibatalkan atas alasan ancaman wabak influenza A (H1N1), lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pembatalan itu dibuat secara rasmi semalam setelah pihaknya merujuk perkara tersebut dengan Kementerian Kesihatan.
"Setelah mengkaji beberapa faktor dan berbincang dengan beberapa pihak yang terlibat dengan kejohanan ini dan juga nasihat daripada Kementerian Kesihatan, FAM telah mengambil keputusan membatalkan kejohanan Piala Antara Benua tahun ini.
"FAM memandang serius penularan H1N1 ini di mana pihak kami sentiasa mengutamakan aspek kesihatan yang tinggi dan peka dengan nasihat dan panda- ngan daripada pihak yang memantau perkembangan H1N1 ini iaitu Kementerian Kesihatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Piala Antara Benua 2009 sepatutnya bakal disertai lapan buah pasukan bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan iaitu dari Malaysia, Brazil, Mexico, Turki, Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Indonesia.
Meskipun Kementerian Kesihatan mengarahkan FAM menangguhkan kejohanan itu ke satu tarikh lain, Azzuddin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan terus kejohanan itu memandangkan kalendar bola sepak di negara ini terlalu padat selepas bulan Jun.
"Pada Jun dan Julai kita perlu menghabiskan saingan Liga Super dan Liga Perdana. Selepas itu ada perlawanan persahabatan dengan Manchester United, Pestabola Merdeka, Piala Malaysia, Kelayakan Piala Asia 2011 dan Sukan SEA 2009.
"Jadi kita buat keputusan untuk batalkan terus Piala Antara Benua untuk tahun ini dan akan me- nganjurkannya kembali pada tahun depan," jelas Azzuddin.
Piala Antara Benua 2009 dilihat sebagai salah satu medan terbaik untuk persiapan skuad B-23 kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Laos pada Disember depan.
Sebagai ganti, Azzuddin berkata, FAM akan mengatur bebe- rapa lagi perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan antara 1 hingga 14 Jun depan memandangkan ketika itu jadual Liga Super dan Liga Perdana juga berhenti rehat untuk Piala Antara Benua 2009.
"Perancangan skuad B-23 kita untuk ke Singapura hujung bulan ini juga akan diteruskan. Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah mengesahkan satu perlawanan persahabatan antara skuad B-23 Malaysia dan skuad B-23 Singapura di sana.
"Satu lagi perlawanan dengan sebuah kelab Liga Singapura pula kita sedang cuba mendapatkan pengesahan," katanya.
Pada edisi sulung Piala Antara Benua tahun lalu, skuad B-23 kebangsaan gagal ke separuh akhir apabila sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan A, setelah tewas 1-3 kepada Ireland, menang ke atas Iraq 1-0 dan seri 1-1 dengan Nigeria.
Sumber : www.kosmo.com.my
Sign In »
Register Now!
Help



Back to top
MultiQuote














