TIDAK kira siapa, hanya pemain terbaik sama ada daripada pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Perdana atau Harimau Muda akan dipanggil untuk membarisi skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Jurulatih B-23, K. Rajagobal berkata, dia akan memantau aksi prestasi pemain dalam kedua-dua saingan liga utama negara itu bagi memastikan mereka yang dipilih nanti mampu menggalas tugas dengan baik.
"Banyak perkara yang kita perlu teliti. Prestasi semasa, mental, karakter, pengalaman dan kesungguhan beraksi untuk negara.
"Kita mahukan pemain-pemain yang boleh memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan berharap Rajagobal turut menyelitkan beberapa pemain yang pernah beraksi pada Sukan SEA 2007 di Korat untuk menghadapi Sukan SEA 2009 di Laos Disember depan.
Antara pemain skuad Korat yang masih layak beraksi adalah penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein, Aidil Zafuan Radzak, Amirulhadi Zainal, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha.
"Saya tahu ramai pemain-pemain yang beraksi di Korat dua tahun lalu masih belum melepasi had umur. Tapi itu cerita dua tahun lepas, ada pemain dari skuad itu yang kini tidak lagi menjadi pemain utama dalam pasukan negeri atau kelab mereka.
"Saya tahu siapa yang boleh main dan siapa tak boleh, sebab sebelum ini pun kebanyakan daripada mereka berada di bawah pengawasan saya ketika mereka bersama skuad B-20, ada 45 orang semuanya.
"Selain itu, ada juga pemain lain yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana yang terus mempamerkan prestasi cemerlang.
"Jadi saya akan tanya jurulatih-jurulatih negeri dan kelab, kalau ada yang bagus kita akan cuba," jelas Rajagobal.
Tambahnya, beberapa pemain daripada skuad B-20 kebangsaan atau lebih dikenali Harimau Muda akan turut diserapkan dalam skuad B-23 itu nanti.
"Mungkin dalam latihan, mereka ini (B-20) boleh tunjukkan prestasi lebih baik daripada kalangan pemain B-23 yang lain. Tetapi saya tetap memilih yang terbaik," tegasnya.
Rajagobal turut memberitahu, khidmat pemain skuad Harimau Muda ketika ini layak untuk dipertaruhkan ke Sukan SEA 2011 di Jakarta memandangkan mereka mendapat banyak pendedahan termasuk beraksi dalam Liga Perdana dan beberapa kejohanan luar dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sumber : http://www.kosmo.com.my
Sign In »
Register Now!
Help



Back to top
MultiQuote



















